Pergas Melancarkan Dana Endowmen PERLU​

Ulama adalah Warisan para anbia. Dengan penghargaan itu, kini Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) melancarkan Dana Pergas Endowmen Legasi Ulama (PERLU) untuk memastikan kelestarian ulama.

Menurut presiden PERGAS iaitu Ustaz Mohamad Hasbi Bin Hassan, “Kelangsungan ini penting agar para ulama dapat terus kekal untuk memimpin masyarakat Islam dalam mengharungi pelbagai cabaran yang melanda masyarakat dewasa ini.”

Kepimpinan ulama adalah amat penting kerana ia memperjuangkan Islam dan cara-cara kehidupan seorang Mukmin.  

Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami”. (Surah al-Sajdah: 24)

Oleh hal yang demikian, ulama adalah warisan nabi dan ia amat penting untuk kita teruskan memperjuangkan warisan ini.

Buat masa ini, PERGAS tidak mempunyai dana yang berkonsepkan endowmen iaitu sebuah wang pokok dana yang tidak diguna pakai, tetapi ia dikekalkan untuk menjana pendapatan. 

Hanya pendapatan sahaja yang akan diagihkan untuk keperluan-keperluan misi PERGAS iaitu membina generasi asatizah yang mahir dalam membimbing masyarakat.

Wang pokok ini akan dilaburkan dalam aset-aset yang boleh menjana pendapatan. Antara aset yang berkenaan ialah hartanah melalui sewa yang diraih dan juga aset-aset jenis lain yang patuh syariah.

Hasil dari pendapatan ini akan disalurkan ke aktiviti PERGAS seperti pembangunan asatizah, pendidikan, biasiswa pengajian dan usaha dakwah PERGAS yang lain.

Buat masa ini, terdapat 40 asatizah yang mengajar di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).

Sekitar 2000 pelajar telah selesai mengikuti program pendidikan di bawah institut ini dan seramai 750 pelajar yang masih aktif. 

PERGAS juga menerima zakat untuk diagihkan kepada lapan golongan asnaf dan juga menokok pembiayaan yang perlu untuk dari masa ke semasa.

Perbezaan antara zakat dan dana endowmen adalah hasil kutipan zakat diagihkan setiap tahun, manakala endowmen ialah dana yang berkekalan. 

Maka, penderma yang menderma melalui dana ini dapat mengekalkan amalan mereka, selagi mana dana ini dapat memberi manfaat kepada penerimanya. 

Oleh itu, ayuh amalkan sedekah jariah (PERLU) ini sebagai legasi anda untuk anda kekalkan amalan anda hingga ke akhirat.

English