Pergas tekankan pentingnya tubuh dana endowmen

ULAMA ialah golongan yang berpengetahuan dalam bidang Islam seperti ilmu fikah, kalam, hadis, tafsir dan sebagainya. Definisi ini sama maksudnya dengan pendapat yang dikemukakan oleh Prof Dr Mohd Kamal Hassan dalam jurnalnya, ‘Penghayatan Islam Dalam Mempelajari Dan Mengembangkan Ilmu’. Beliau melihat bahawa ulama memiliki kaedah integrasi iman kepada Allah, ilmu yang bermanfaat, amal yang soleh dan akhlak mulia.

Semua perkara ini adalah berdasarkan doktrin tauhid dalam mencari, mempelajari, mengajar dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Justeru, ulama bukan hanya boleh dikaitkan dengan ilmu keagamaan yang mendalam, malah seorang ulama memiliki ciri-ciri kerohanian dan akhlak yang tinggi.

Walaupun umat Islam di Singapura berada dalam kerangka negara sekular, tetapi mereka masih boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang yang beragama Islam. Kepimpinan ulama mempraktikkan ijtihad dalam banyak bidang, baik dari bidang fikah mahupun bidang-bidang kontemporari seperti bidang sosial dan bidang muamalat, yang sedang ditempuhi oleh umat Islam sekarang. Ijtihad ini penting dan ia telah menjadikan umat Islam begitu dinamik, lebih-lebih lagi pada akhir zaman ini dimana banyak cabaran dan adaptasi perlu dilaksanakan supaya kita kekal menjadi umat Islam yang cemerlang di sisi Allah swt di dunia dan di akhirat.

Oleh itu, sebagai sebuah badan iaitu Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas), penubuhan dana endowmen ini perlu dan amat penting dilaksanakan.

Presiden Pergas, Ustaz Hasbi Hassan, menjelaskan: “Perlaksanaan endowmen ini menjadi satu keperluan supaya visi dan misi yang ingin dicapai oleh umat Islam di Singapura akan terus terpelihara. “Selain itu, kita juga akan mendapat bimbingan daripada asatizah dan ulama dalam kehidupan kerohanian kita. Dengan bimbingan itu, aktiviti-aktiviti semasa kita di dunia akan sentiasa teratur agar ia tidak bercanggah dengan kehendak Islam.”

Dana Endowmen ini amat popular dalam institusi barat, terutama dalam kalangan universiti-universiti terkenal. Contohnya, Universiti Yale, Harvard mempunyai dana endowmen yang mencecah nilai sehingga $51.04 bilion.

Dana endowmen adalah satu lagi kaedah atau wadah yang pembiayaan sesuatu projek institusi itu dapat dilestarikan. Endownmen adalah satu perkara yang berbeza dengan zakat. Secara khususnya, zakat merupakan perbelanjaan langsung, di mana kutipan dan pengagihan harus dilangsaikan dalam masa setahun.

Kaedah zakat ini digunakan untuk membantu golongan asnaf pada waktu ini. Dana endowmen pula merupakan sebuah dana di mana wang yang diterima tidak langsung diagihkan, tetapi ia diusahakan untuk menjana pulangan.

Maknanya, endowmen berbentuk sedekah jariah yang akan mengekalkan modalnya secara berterusan. Hanya pulangan daripada modal sahaja dibelanjakan mengikut objektif dana.

Sudah tiba masanya untuk semua institusi mula menubuhkan dana endowmen bagi memastikan kelestarian misi masing-masing.

Sokonglah kelestarian kepimpinan ulama kita dan bersama-sama kita perlu mencipta legasi ini.

Artikel ini telah dipapar di Berita Harian pada Jumaat, 15 Mei 2020.  

English